RSS

IBU BAPA YANG IDEAL

picnic2

Pernahkah anda berfikir, bagaimana “rupa” keibubapaan yang anda akan tunjuk pada si anak ?? Mungkin ada dikalangan anda yang sudah bergelar ibu bapa dan bagi yang belum mempunyai anak, anda kini memegang status “bakal ibu atau bapa”. Menempuh alam keibubapaan adalah fasa kedua buat mereka yang sudah berkahwin. Hakikatnya, anda tidak boleh melangkah ke alam keibubapaan dengan langkah kosong tanpa ilmu dan persediaan. Perlukah semua itu ?? Ya. Perlu. Jika anda ingin menjadi seorang ibu bapa yang ideal pada pandangan mata si anak, anda harus ada persediaan besar untuk ke arah itu. Anda ingin anak-anak anda hormat pada anda,sedangkan anda langsung tiada ciri-ciri seorang ibu dan ayah yang ideal. Ibu bapa merupakan acuan madrasah tarbiah buat anak-anak.Ibu bapa yang ideal di sini bukanlah menjadi ibu bapa yang sempurna di depan anak-anak, tapi dengan mengidealkan sikap anda agar anak-anak anda berasa selesa dan senang dengan ibu bapa mereka.

 

1. Memahami

Memahami di sini bukanlah dengan mengikut semua kehendak anak-anak hingga ke tahap terlampau memanjakan mereka. Tapi, dengan memahami perasaan dan kehendak mereka. Tidak semua kehendak si anak anda harus menolaknya. Anda harus pertimbangkannya. Jika ia membawa kebaikan kepada si anak dan tidak menghancurkannya,maka tunaikanlah hajat mereka dengan kasih sayang. Jika ia membawa keburukan kepada mereka, beri dahulu penjelasan jawapan penolakan anda terhadap kehendak mereka. Nyatakan alasan anda. Usah biarkan si anak tertanya-tanya akan alasan anda menolak kehendak mereka. Apabila anda menolak permintaan mereka tanpa sebarang alasan, si anak akan merasakan ibu bapanya tidak memahami,kejam dan tidak bertolak ansur terhadap mereka. Akhirnya, tertunas rasa tidak puas hati terhadap ibu bapa dan membuatkan mereka ingin memberontak.

 2. Penyayang

Zahirkanlah kasih sayang anda pada mereka. Runtuhkanlah tembok ego anda sekalipun pada si anak. Mana bisa mereka mampu “memanjat” tembok keegoan anda yang tinggi melangit itu. Hati anak-anak ini perlu disentuh dengan menzahirkan kasih sayang anda sebagai ibu bapa. Usah terlalu mengharap si anak memanjat tembok ego anda tersebut untuk melihat “sesuatu” di sebalik tembok itu. Bagi mereka yang melepasi memanjat tembok anda tersebut, bolehlah mereka melihat “perasaan” yang anda sorok di sebalik tembok. Tapi, bagi mereka yang gagal melepasinya ?? Mampukah mereka melihat?? Usah dikatakan melihat, untuk mengintai perasaan anda itu jauhlah sekali . Akhirnya, si anak merasakan anda tidak menyayangi mereka. Kasih sayang itu perlu dizahirkan dengan sentuhan. Sentuhan mampu memberi impak yang tinggi buat psikologi seseorang. Belaian kasih seseorang ibu mampu menyentuh hati si anak sedangkan pelukan seorang bapa terhadap si anak mungkin mampu mententeramkan hati si anak yang tengah marah. Sentuhan kasih sayang dari ibu bapa adalah sentuhan luar biasa yang tidak mampu digantikan oleh orang lain. Usah biarkan sentuhan belaian kasih sayang anda terhadap anak-anak anda hanya hangat seawal kelahirannya sahaja. Lazimilah memeluk anak anda setiap hari. Jika si anak anda sedang bersedih mahupun kecewa, tenteramkanlah hati mereka dahulu dalam pelukan anda sebagai ibu bapanya. InsyaAllah, hubungan anda dengan mereka akan lebih erat !

3. Memaafkan dan mohon maaf

Setiap individu pun pasti akan melakukan kesalahan. Jika anda sendiri sebagai ibu bapa ada melakukan kesalahan, apatah lagi si anak yang baru sahaja menyesuaikan diri dengan kehidupan dunia. Kadang kala kesilapan itulah langkah pertama untuk belajar mengenai sesuatu. Jadilah ibu bapa yang pemaaf jika anak anda ada melakukan kesalahan. Tegur kesalahan mereka itu dengan berhemah dan jangan biarkan si anak terhimpit dengan rasa bersalah yang menebal. Ada tikanya, kesalahan itu tidak disengajakan. Ada tikanya, mereka sendiri tidak mengetahui tindakan mereka itu satu kesalahan. Sedarilah anda, si anak itu masih jauh lagi perjalanan mereka. Masih banyak lagi perkara yang mereka perlu pelajari dan memerlukan bimbingan dan nasihat dari anda sebagai ibu bapa mereka.

Amatlah sukar sekali untuk melihat ibu bapa yang melakukan kesilapan memohon maaf kepada anak-anak. Ada tikanya kelemahan diri kita sebagai hambaNya tidak melepaskan diri kita daripada melakukan kesilapan. Adakah anda rasa tercabar untuk memohon maaf kepada si anak jika tika itu anda sendiri yang melakukan kesalahan ? Anda rasa mereka, si anak tidak layak menjadi orang yang perlu anda meminta maaf ? Anda rasa dengan meminta maaf pada si anak telah menjatuhkan kreadibiliti anda sebagai seorang ibu bapa ?? Tidak ada satu kesalahan pun jika anda meminta maaf pada mereka. Hakikatnya, self-learning anak-anak ini bermula dari suasana akhlak di rumah mereka. Anak-anak akan merasakan diri mereka dihargai perasaan mereka jika anda bersikap demikian.

 

“ Sayang , umi minta maaf yer.. Umi bukannya sesuka hati nak tinggikan suara marah anak umi. Kerana sayanglah, umi kena tegur kesalahan anak umi bila anak-anak umi ada buat salah. Maafkan umi yer kalau kata-kata umi tadi telah guriskan hati puteri umi ni .. “

“Umi .. adik nak minta maaf juga yer.. Memang salah adik pun.. Maaf yer sebab buat umi marah tadi ….”

 

Jadikan suasana saling meminta maaf dan memaafkan itu sebagai akhlak yang perlu ada dalam diri setiap penghuni rumah anda. InsyaAllah, apabila timbul sesuatu konflik dalam keluarga anda, anda sekeluaga sudah mampu menanganinya dengan berakhlak !

 

-nurcahaya-

 

RAMADHAN TIBA LAGI : BERSEDIAKAH KITA ??

                      Ramadhann

“ Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu,supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah:183)

Debaran menjemput bulan yang paling diberkati,Ramadhan Al-Mubarak kian terasa .Hanya beberapa hari sahaja umat Islam akan menunaikan salah satu kewajipan yang difardhukan ke atas kita semua iaitu berpuasa dalam bulan Ramadhan. Bagaimana persiapan kita untuk menjemput Ramadhan pada kali ini ?? Bersediakah iman kita ?? Sudah cukup bersediakah kekuatan fizikal dan rohani kita??….

Apabila sebut sahaja mengenai Ramadhan,semua umat Islam bersemangat untuk bertarawih.Buktinya,lihat sahaja keadaan masjid yang tika dulunya lenggang tanpa jemaah tapi bertambah  imarah dengan kehadiran umat Islam.Kanak-kanak kecil juga turut bersemangat untuk solat terawih.Pada masa yang sama juga,umat Islam di Malaysia khususnya,selain bertarawih kita juga turut “rancak” turun padang ke Bazar-bazar Ramadhan.”Rancak” membeli menu juadah untuk berbuka puasa.Itulah suasana di awal dan pertengahan bulan Ramadhan yang acap kali kita menyambutnya. Semangat Ramadhan hanya di awalnya tapi semangat Syawal yang menjadi klimaks dan penutupnya.

Sedikit pencerahan perlu dilakukan agar umat Islam sedar betapa “istimewanya” bulan Ramadhan. Adakah kita selama ini menyambut Ramadhan semata-mata kerana ingin “mengambil kehangatan suasana Ramadhan” ??  Seperti Bazar Ramadhan,mood shopping raya,rancak buat kuih raya dan menghias rumah. Ataupun kita memang benar-benar menyambut Ramadhan kerana mengharapkan keredhaan Allah dan keberkatan bulan Ramadhan tersebut ???

Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda;

“ Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap keredhaan Allah,dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.”   (Hadis Riwayat Muslim)

Abu Qilabah melaporkan daripada Abu Hurairah yang menceritakan,Rasulullah pernah berkata;

“ Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan,bulan yang penuh berkat.Allah mewajibkan kamu berpuasa.Pada bulan itu pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup.Syaitan-syaitan dibelenggu.Demi Allah,pada bulan itu ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang diharamkan kebaikannya,maka dia haram mendapatkannya.”                                                   (Hadis Riwayat Nasa’I dan Baihaqi)

 

Ayuh,umat Islam semua ! Kita perbaiki “performance” iman kita untuk menjemput Ramadhan pada kali ini.Andai sebelum ini kita terlalu rancak dan sibuk mencari keseronokan duniawi sehingga kita lupakan Allah dan Rasulullah,maka eloklah kita berhenti. Keberkatan bulan Ramadhan ini harus direbut oleh semua umat Islam.Kita semua ada peluang masing-masing untuk meraih pahala,tetapi kita sendiri yang melepaskan peluang keemasan yang diberi Allah untuk meraih pahala yang tidak terhitung ganjarannya. Jom kita lakukan pencerahan bersama-sama dengan memperbaiki kualiti dan kuantiti ibadah,InsyaAllah..

 

Pemantapan ibadah untuk ramadhan kali ini.

 

1. Jangan tinggal bersahur

 Anas bin Malik melaporkan,Rasulullah S.A.W bersabda;

“ Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada barakah” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 Abu Sa’id al-Khudri melaporkan,Rasulullah S.A.W bersabda;

“ Makan sahur adalah barakah.Oleh itu janganlah kamu meninggalkan ia,meskipun kamu hanya minum seteguk air.Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat kepada orang yang makan sahur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

 

2. Menyegerakan iftar (berbuka puasa)

 Sahl bin Sa’ad melaporkan Rasulullah S.A.W bersabda;

“ Manusia masih berada dalam kebaikan selagi dia menyegerakan berbuka.”                                                                         (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

3. Memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa

 Zaid bin Khalid al-Jahni melaporkan,Rasulullah pernah bersabda;

“ Sesiapa yang memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa,dia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa,namun tidak mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun. (Hadis Riwayat Tarmizi,Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

 

4. Beriktikaf di masjid

 Ibnu Abbas melaporkan,Rasulullah S.A.W pernah bersabda;

“ Sesiapa yang berjalan demi keperluan saudaranya,perjalanan itu lebih baik daripada iktikaf sepuluh tahun.Sesiapa yang iktikaf satu hari dengan mengharapkan keredhaan Allah  Azza wa Jalla,Allah akan menjadikan tiga parit diantara dia dan neraka.Jarak setiap parit lebih jauh daripada antara timur dan barat.  (Hadis Riwayat Thabrani dan Hakim)

 

5. Bangun pada malam Lailatul Qadar

 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam al-Qadar. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apakah kebesaran malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu,turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka,kerana membawa semua perkara.Sejahteralah malam(yang berkat) itu hingga terbit fajar!”                                      

                                                                                                          (Al-Qadr: 1-5)

 6. Memperbanyakkan sedekah

 “ Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata,maka mereka melakukannya itulah orang yang beroleh pahala berganda-ganda.”  (Ar-Ruum:39)

 

7. Kerap membaca Al-Quran

 Abdullah bin Mas’ud melaporkan,Rasulullah pernah bersabda;

“ Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitabullah,dia mendapat satu kebaikan. Satu kebaikan akan dibalas menjadi sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif laam miim itu satu huruf,namun alif satu huruf dan miim satu huruf.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

 

 Moga ibadah kita pada Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelum ini.

-nurcahaya-

 

MENJEMPUT BARAKAHNYA

 10170758_614274411996264_3443931617958235779_n

 credit to https://www.facebook.com/xrashdmajdx

Ramai yang teruja untuk membina masjid,tapi lalai dalam pelihara masjid mereka. Membina masjid itu yang lebih difokuskan berbanding dengan peliharanya. Membina itu mudah, dan runtuhan juga mudah berlaku jika kita terlalu asyik dengan siulan cinta sesama pasangan sehingga lupa untuk menjemput barakahNya dalam rumah tangga. Ada beberapa perkara yang kerap dipandang remeh oleh pasangan suami isteri sedangkan perkara itu merupakan perkara asas yang perlu dititikberatkan.

 

Berikut merupakan element asas yang perlu dikukuhkan kekuatannya dalam rumah tangga anda.

Pandangan

 Bagaimana anda “melihat” pasangan anda ?? Apabila anda sudah bergelar suami isteri,cara anda melihat diri pasangan anda adalah sangat penting. Anda harus mengawal “pandangan” anda dari mencari kesalahan pasangan anda. Jangan terlalu teruja mencari kesalahan pasangan anda sehinggakan si dia merasakan dirinya tidak dihargai anda. Anda harus “melihat” dirinya dengan menerima kekurangan dirinya bukan menolak kekurangan dirinya. Pandangan inilah kebanyakannya pasangan terlepas pandang. Kesalahan itu ditegur bukannya dicari.

 

Bicara / Komunikasi

Rata-rata masalah rumah tangga berpunca dari masalah komunikasi antara pasangan. Memang terdapat perbezaan peribadi antara sesama pasangan tapi itu tidak bermakna anda tidak mampu mewujudkan satu hubungan yang harmoni dalam hubungan anda. Bukankah kerana perbezaan itulah wujudnya keserasian antara anda berdua ? Ada pasangan yang berbeza dari segi sikapnya, tapi mereka serasi bersama. Ada juga pasangan yang tidak serasi bersama ekoran berbezanya sikap antara mereka berdua. Ianya bergantung sejauh mana anda mengurus komunikasi bicara antara pasangan anda. Fahami sikap pasangan anda. Wujudkan perbincangan bersama dalam menguruskan hal-hal rumah tangga. Jangan anda menanggungnya seorang diri dan mengharapkan pasangan anda memahami anda sedangkan si dia langsung tidak tahu apa-apa! Kerapkan ada bicara ringkas dengan pasangan anda. Lazimilah diri anda dengan adab berterima kasih dan meminta maaf kepada pasangan anda setiap hari. Kongsilah masalah anda dengan pasangan anda. Jika berlaku salah faham antara berdua, tanganinya dengan beradab. Jangan hanya disebabkan salah faham, si isteri hilang rasa hormat pada si suami, si suami pula hilang rasa kasih dan bersantun pada si isteri.

 

Pendengaran

Biarlah pasangan anda merasakan andalah teman rapatnya. Ada tikanya, masalah diluahkan bukannya untuk dicari jalan solusinya, tapi lebih kepada si dia mencari seseorang untuk mendengar masalahnya. Lazimnya,hati seseorang yang dilanda masalah akan bercampur aduk dengan segala jenis perasaan. Santunilah hati pasangan anda dengan baik. Usah dibebankan lagi dirinya dengan masalah yang sudah terbeban baginya. Didik diri anda menjadi pasangan yang bertimbang rasa dan bertolak ansur kepada pasangannya. Kadang kalanya si dia akan mudah merasa tertekan dan emosinya juga mudah terganggu. Ada tikanya si dia memerlukan masa untuk bersendiri. Anda harus fahami perubahan emosinya ketika ini,bukannya terasa hati dengan perubahan emosinya. Pasangan anda juga manusia biasa yang ada kelemahan sebagaimana anda memiliki kelemahan di dalam diri anda.

 

Hati

Sebut sahaja soal hati, pasti hati seorang wanita yang dirasakan paling sensitif. Ya. Ada betulnya. Tetapi, anda tidak boleh menyalahkan mereka 100% kerana itulah fitrah mereka yang telah diciptakan Allah. Hati wanita ini lembut dan mudah sekali untuk “hancur” jika anda “mengecewakan” dirinya dan “ bahagia” jika anda “ikhlas” terhadap dirinya. Alam rumah tangga bukannya seperti zaman anda bermain-main semasa kanak-kanak kerana tika ini semua kotmitment anda akan tertumpu di sini. Cara si suami melayani si isterinya haruslah tidak sama seperti mereka melayani sahabat-sahabat mereka. Harus ingat, hati si isteri bukannya “sebrutal” sahabat-sahabat anda. Ada perkara yang boleh dibawa bergurau dan ada yang tidak boleh dibawa bergurau langsung. Pikat hati istri anda dengan kata-kata pujian ikhlas dari anda. Sebagai isteri pula, anda harus bijak memikat hati suami anda. Lazimnya, si suami mengharapkan ada satu “kelainan” dalam kehidupan mereka setelah beristeri dengan kehidupan mereka semasa bujang. Ikhlaskanlah hatimu wahai isteri solehah dalam menguruskan makan minum dan pakaian suami anda. Gembiralah hatimu kerana semua layananmu terhadap suamimu itu adalah ibadah dan ada ganjaran pahala besar yang menantimu di syurga kelak. Bukankah anda ingin menjemput barakahNya dalam rumah tanggamu ??

 

 

-nurcahaya-

 

RAIKAN PENDAPAT IBU BAPA

35
Biarpun anda sudah memiliki calon pilihan hati,janganlah sesekali ketepikan perasaan ibu bapa anda. Anda harus fahami,di kala usia sebegini psikologi perasaan mereka kadang-kadang menyebabkan mereka akan mudah terasa jika anak bersikap tidak mempedulikan pendapat mereka. Situasi ini kerap berlaku kepada individu yang merupakan anak sulung,anak bongsu dan anak perempuan. Selama ini mereka meletakkan sepenuh pengharapan dan penjagaan kepada anak-anak ini.Apabila mereka mendapati anak –anak mereka ini akan berkahwin,mereka bimbang jika anak-anak harapan dan kesayangan mereka ini lupa akan mereka dan mendahulukan pasangannya dalam semua perkara melebihi dari mereka sendiri. Sebagai seorang anak,anda harus fahami perasaan dan kebimbangan yang bermain di hati mereka. Santunilah kebimbangan hati mereka dengan penuh kasih sayang dan hormat,bukannya dengan menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka.
Bagi mereka yang ada calon pilihan sendiri .. Bermusyawarrahlah dengan mereka. Kerap terjadi ibu bapa menghalang niat suci si anak yang ingin berkahwin awal . Malah jika calon pilihan si anak itu lengkap package “agamanya” ,masih juga ada ibu bapa yang tidak dapat menerimanya …

 

1. Bincang baik-baik dengan mereka
Dalam hal ini,si anak tidak boleh juga untuk salahkan ibu bapa mereka. Anda harus ingat, pendedahan kepada persekitaran “tarbiah agama” yang dilalui kita sekarang ini tidak sama seperti zaman mereka. Ada kalanya mereka langsung tidak pernah terdedah kepada persekitaran sebegitu.. Mereka menolak dan tidak terima sebab mereka kurang paham tentang konsep sebenar dalam baitul muslim .Menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang anak yang sudah exposed kepada persekitaran tarbiah islam ini ,untuk terang dengan baik kepada ibu bapa ..

 

2. Terang dengan baik-baik kepada mereka tentang konsep baitul muslim

Bermula dari segi pemilihan calonnya mengikut aspek hadis baginda,dari segi perancangan masa panjang baitul muslim .Ya .Mungkin ambil sedikit masa untuk mereka memahami benda baru. Di sinilah si anak mungkin akan diuji dengan pertanyaan yang bertalu-talu dari ibu bapa .Tangani situasi ini tenang dan matang .Jika anda sudah bersedia untuk membina baitul muslim,anda harus matang tangani situasi ini. Secara tidak langsung, ibu bapa akan berpendapat si anak memang sudah cukup bersedia dan serius untuk membina baitul muslim.

3. Ajak ibu bapa bertaaruf bersama tentang calon pilihan

Ajaklah ibu bapa anda bersama untuk mengenali peribadi calon pilihan anda. Sebelum itu,anda harus berlapang dada dan berfikiran positif untuk perbincangan ini. Berbicaralah kepada mereka dengan lemah lembut. Anda boleh menggunakan pendekatan memuji dan bertanyakan tentang pendapat mereka. Pasti buah bicara ini mampu membuatkan hati mereka senang dan tersenyum dengan calon pilihan anda.

 “ Mama, along nak kenalkan dengan mama dan abah dengan seorang bakal menantu perempuan mama.Nanti,bertambahlah bilangan anak perempuan mama. Mama mesti suka ..”

“ Ayah, ayah berkenan tak dengan calon bakal suami Maria ni? Ayah kan suka nak dapat menantu yang boleh ayah bersembang bersama..”

InsyaAllah,pasti hati ibu bapa anda tertaut pada calon pilihan anda. Pastikan senyuman anda sentiasa di bibir sepanjang berbicara dengan mereka !

 4. Lakukan solat istikharah bersama dengan ibu bapa anda .

Lazimnya si anak sahaja yang akan selalu melakukan solat istikharah sendirian. Kali ini, apa kata anda mengajak ibu bapa anda lakukan solat istikharah bersama. Bukankah doa ibu bapa mustajab doanya ? Doa dari keikhlasan hati seorang ibu bapa sentiasa di dengar Allah.

 “ Mama,abah.. Jom kita buat solat istikharah bersama. Along perlukan doa dan restu dari mama dan abah untuk pilihan along ini. Along inginkan kebahagiaan rumah tangga yang mampu membahagiakan hati mama dan abah juga. Along bukan sekadar hendak cari calon isteri,tapi juga hendak beri anak perempuan kepada mama dan abah. Along ingin mama dan abah sayang isteri along sebagaimana mama dan abah sayang anak-anak perempuan mama dan abah..”

Pasti ada titisan air mata yang mengalir di wajah mereka jika anda bersikap demikian kerana anda mencari kebahagiaan yang dapat membahagiakan mereka juga!

5. Berdoa +  tawakal

Usaha sudah dilakukan,  langkah terakhir ialah berdoa. Itulah senjata utama kita. Doa itu senjata mukmin. Pintalah pada “pemilik” hati ibu bapa.  Allah yang memegang hati setiap hamba-hambaNya. Lakukanlah solat hajat setiap malam . Sesungguhnya Allah mendengar setiap rintihan dan permintaan hambaNya . Ini tidak, diharapnya ibu bapa menerima sedangkan doa langsung tidak dipanjatkan kepadaNya . Usaha anda meminta padaNya haruslah seiring dgn usaha anda untuk yakini ibu bapa . Bahkan harus lebih dari itu ..

 

 

-Hidup tanpa redha ibu bapa akan membuatkan hidup anda dihantui dengan rasa tidak tenang dan gelisah . Semoga kita semua sentiasa berada dalam redha ibu bapa dan redha Allah

-nurcahaya-
 

ADA SYURGA DI RUMAH KITA

IMG_1869

Photo by http://blog.udeyismail.net

Fitrah itu satu keindahan yang diciptakan Allah kepada hambaNya. Keindahan yang dihiasi dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNya buat hambaNya yang bijak menguruskan fitrah mereka.Fitrah itu tidak boleh dihalang tetapi harus dikawal dan diurus dengan berhikmah. Islam tidak pernah menyempitkan ruang nikmat bahkan Islam meraikan dan meletakkan kedudukan pengurusan fitrah itu di tempat yang cukup mulia iaitu dengan terbinanya baitul muslim.

Berbicara sahaja tentang perkahwinan,pasti ada senyuman terukir pada wajah,pasti ada mata-mata yang menjeling antara satu sama lain.Tidak kira juga,pasti ada yang tersengih seorang diri. Hati siapa yang tidak bahagia bila sebut tentang berkahwin. Dirasakan hampir satu dunia mahu dikhabarkan. Namun,tika anda tersenyum memikirkannya,pernahkah terlintas di benak fikiran anda,bagaimanakah “rupa” rumah tangga yang anda ingin hias kelak??

ADA SYURGA DI RUMAH KITA ..  Siapa yang tidak mengimpikannya,bukan? Siapa yang tidak mahu menjadikan rumah tangganya sebagai daurah keluarga sakinah. Terasa aman rumah tangga apabila penghuninya saling memburu mengejar ibadahNya. Ada bunga bahagia yang tumbuh bila si isteri menyambut kepulangan suami dari tempat kerja dengan senyuman ikhlasnya. Ketaatan pada suami,dirasakan sebagai ibadah oleh si isteri. Ada senyuman pada wajah si isteri,tatkala suami mengajarnya membaca Quran. Ada air mata syahdu yang mengalir pada wajah si isteri,bilamana dia berdiri bersolat di belakang suaminya sebagai seorang makmum. SubhanaAllah, indahnya daurah keluarga sakinah seperti ini !!

Sebelum membina sesuatu,pasti kita perlu ada bahan-bahannya,bukan ? Begitu juga dengan rumah tangga. Ada sesuatu yang perlu kita sediakan sebelum kita membinanya.Persoalannya, bahan apakah yang perlu kita sediakan?? ..

1. Ilmu

– Lengkapkan diri anda dengan ilmu untuk mengelakkan diri anda melangkah masuk alam rumah tangga dengan “zero base”.. Ilmu yang bagaimana?? Perbanyakkan bacaan tentang alam rumah tangga.Anda boleh rujuk buku-buku tulisan Cahyadi Takariawan,Salim A. Fillah dan Mohamad Fauzil Adhim. “ Eh, nak berkahwin tak perlu teori la ..!” Kalau anda berfikir begitu,anda memang betul. Ya. Berkahwin tidak perlukan teori,tapi ia perlukan ilmu. Semua perkara perlukan ilmu hatta anda ingin memasak sekalipun.Bagaimana anda ingin memasak jika anda tidak tahu menggunakan dapur gas kan ?? Ilmu fikah dan ibadah khususnya,patut didalami baik wanita mahupun lelaki. Jangan biarkan anda sentiasa berguru dengan “ustaz google” saja sepanjang masa. Selain itu, ilmu komunikasi juga sangat penting. Perbezaan dari sudut fitrah antara lelaki dan wanita menjadikan bahasa komunikasi kadang kalanya disalah tafsirkan. Perbezaan fitrah itu bukan satu masalah sebaliknya ia merupakan satu keindahan cipaanNya.

2. Baiki hubungan anda denganNya

– Bagaimana anda ingin berhubungan dengan orang lain sedangkan hubungan anda dengan Allah masih berada di “zon merah” ??. Layakkah kita sebagai hamba mencintai hamba yang lain sedangkan cinta kita pada Pencipta sekalian makhluk masih hambar. Bagaimanakah ibadah kita selama ini ?? Mampukah kita bina rumah tangga dengan kotmitment jika tugas kita sebagai hambaNya kita melakukan sambil lewa? Baiki dan tingkatkan mutu dan kualiti ibadah kita.Tingkatkan dahulu parameter cinta anda pada Allah dan RasulNya sebelum anda belajar mencintai orang lain.  

3. Hubungan sesama makhlukNya

-Jika anda tidak mempedulikan kebajikan masyarakat sekitar anda,bagaimana kelak anda ingin menjadi seorang insan yang bertanggungjawab dalam rumah tangga ? Jiran di sebelah rumah yang berkelaparan beberapa hari tidak pernah anda ambil peduli,inikan pula berhajat untuk memberi makan kepada anak istri. Di manakah sikap keprihatinan anda? Lupakah anda tanggungjawab kita sesama muslim ? Hubungan anda dengan masyarakat sosial sedikit sebanyak akan mempengaruhi keharmonian rumah tangga anda kelak. Ingat,anda akan membina rumah tangga dengan menghadirkan masyarakat bersama.Jika seawalnya anda tidak mampu membina hubungan yang baik sesama muslim,bagaimana anda ingin menyumbang kebaikan kepada pembangunan masyarakat Islam ?? Hubungan sesama makhlukNya juga melibatkan hubungan anda dengan ibu bapa anda. Pastikan tiap perbuatan anda mendapat restu dari mereka kerana redha ibu bapa penentu redha Allah. Jika anda merupakan seorang anak yang tidak menghormati ibu bapa,bagaimanakah anda dapat harapkan bahawa anak anda mampu menjadi anak yang baik dan taat  kepada anda ?

MENJEMPUT BARAKAHNYA .. Bagaimana ingin menghadirkan barakahNya dalam rumah tangga anda ? Pasti menjadi indah jika tiap aktiviti dalam rumah tangga yang dilakukan bersama ada saham akhirat. Masing-masing berlumba melakukan ibadah kepadaNya. Alangkah bahagianya hati !

1. Hidupkan suasana solat berjemaah

– Ceriakan suasana rumah anda dengan melakukan solat berjemaah bersama. Sedikit sebanyak ia dapat meningkatkan kepimpinan si suami dalam rumah tangga. Namun,adalah lebih aula bagi seorang lelaki muslim untuk solat berjemaah di masjid. Si isteri hendaklah bijak memainkan kata-kata agar hati si suami berasa tenang untuk meringankan kakinya untuk solat berjemaah di masjid. Jangan pula si isteri memasamkan muka pula bila melihat si suami ingin bersolat di masjid.

2. Wujudkan usrah dalam keluarga

– Alangkah terasa tenangnya hati jika suasana dalam rumah tangga ada suasana saling mengingatkan antara satu sama lain. Si suami menjadi naqib dan isteri dan anak-anak pula menjadi anak usrah. Banyak aktiviti yang dapat dilakukan dalam usrah ini antaranya dapat bertadarrus al-Quran bersama,bercerita tentang kisah sirah para nabi dan sahabat dan lain-lain. Aktiviti berusrah ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara sesama ahli keluarga.

3. Ceriakan rumah tangga anda dengan aktiviti ibadah

– Pasti rumah tangga berasa aman jika suasana rumah sentiasa dihiasi dengan aktiviti beribadah bersama contohnya berpuasa sunat,menghadirkan diri ke majlis,bersedekah dan sebagainya. Latih setiap penghuni rumah anda terutama anak-anak untuk bersedekah.Terapkan dalam diri mereka sikap penyayang dan prihatin kepada mayarakat di luar sana. Jadikan aktiviti ibadah sebagai aktiviti rutin harian anda sekeluarga.InsyaAllah,pasti ada barakah di sisiNya.

4. Lakukan aktiviti dakwah dan sukarelawan (kerja amal)

–  Biasakan diri ahli keluarga anda dengan aktiviti berdakwah atau kerja amal. Aktiviti seumpama ini mampu melatih mereka untuk berhadapan dengan masyarakat sosial agar mereka tidak akan mudah melatah dengan gejala sosial masyarakat kelak. Didik penghuni rumah anda untuk sentiasa melakukan kebaikan. Dedahkan kehidupan masyarakat yang tidak bernasib baik kepada mereka agar mereka menjadi seorang insan yang bersyukur dan prihatin kepada orang lain. Anda juga boleh melatih semua penghuni rumah anda terutama anak-anak berdakwah melalui akhlak dan pakaian.

 

-Selamat membina syurga di rumah anda !

-nurcahaya- 

 
 
%d bloggers like this: